Selasa, 14 Desember 2010

Sirah Rasulullah perlu dihidupkan bukan setakat kajian

Sirah Rasulullah perlu dihidupkan bukan setakat kajian
Oleh Hasliza Hassan
Ummah perlu hayati perjalanan hidup Nabi Muhammad untuk mengenali Islam sebenar
MUSLIM masa lampau apabila membaca sirah Rasulullah akan terus terkesan dan berubah dari segi amalan serta kehidupan mengikut panduan ditunjukkan Baginda. Ini kerana perasaan cinta yang lahir terhadap junjungan besar itu.
Tetapi, Muslim sekarang tidak begitu walaupun menulis atau membuat kajian mengenai keperibadian, sejarah dan kehidupan Rasulullah SAW. Ini disebabkan sirah bagi mereka seperti mengkaji mengenai pemimpin terkenal.
Sebab itu, sesiapa saja boleh menulis atau menerbitkan buku sirah Rasulullah tetapi tidak ramai yang berubah kerana maklumat serta pengetahuan yang diperoleh tidak meresap dalam jiwa. Ia hanya sebagai bahan ilmiah.
Pensyarah di Universiti Damsyik, Syria, Sheikh Profesor Dr Mohammad Said Ramadan Al-Bouti, berkata sirah perlu difahami supaya Muslim mendapat gambaran sebenar mengenai Islam dari segi akidah dan aplikasi syariah yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad.
Justeru katanya, bidang itu perlu diberi nama baru iaitu fiqh sirah nabawiyah supaya usaha memahami keperibadian Rasulullah melalui perjalanan kehidupan serta keadaan dihadapi Baginda mampu memberi kesan dan membawa perubahan kepada umat Islam.
Kajian mengenai sirah bukan sekadar tujuan ilmiah saja. Untuk itu, perlu ada pendekatan baru supaya Islam benar-benar dihayati. Bagaimana untuk mempraktikkan apa yang difahami serta dihayati daripada sirah dalam hidup juga berbeza dengan membuat kajian mengenai sirah.
Setakat menulis satu buku mengenai sirah, siapa pun boleh tetapi itu bukan jaminan ia akan membawa perubahan, katanya pada syarahan umum bertajuk Aplikasi Fiqh Sirah Dalam Realiti Semasa kepada 160 hadirin yang memenuhi Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di ibu negara, Selasa lalu.
Beliau berkata, aplikasi fiqh sirah boleh berlaku jika semua memahami, menghayati kandungannya seterusnya memainkan peranan masing-masing berpandukan kepada contoh terbaik ditunjukkan Rasulullah dalam seluruh kehidupan secara jelas dan sempurna.
Dr Mohammad Said berkata, apabila peristiwa yang digambarkan sepanjang perjalanan hidup Rasulullah difahami, diselami dan dihayati, umat Islam akan dapat merasakan seolah-olah Baginda ada bersama mereka walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.
Beliau berkata, pengalaman itu pernah dirasai pelajar beliau yang mengikuti pengajian sirah apabila mereka menangis dalam kelas kerana menghayati peristiwa ditempuhi Rasulullah seolah-olah mereka turut melalui keadaan itu.
Katanya, mempelajari atau mengkaji fiqh sirah perlu dilakukan secara berkumpulan supaya teori dan amalannya dapat dihayati sementara hasil perbincangan serta analisis yang dibuat tersebar luas untuk dimanfaatkan.
Fiqh sirah tidak boleh dikaji secara bersendirian kerana akan menghasilkan kefahaman yang terhad berbanding apabila dibaca dan dibincang secara ramai-ramai atau berkumpulan. Saya berdoa kepada Allah supaya diberi hidayah dan dimudahkan mereka yang ingin mengkaji fiqh sirah, katanya.
Katanya, mempelajari sirah Rasulullah membantu umat Islam memahami kitab Allah kerana ayat al-Quran ditafsir dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa pernah dihadapi Rasulullah.
Sirah cukup relevan hingga hari ini kerana seluruh kehidupan Baginda mencakupi semua aspek yang memberi kehidupan mulia kepada semua golongan yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana.
Sama ada sebagai pemimpin adil, suami dan ayah penyayang, panglima perang yang mahir, negarawan dan sebagai Muslim, semuanya dapat melakukan keseimbangan antara kewajipan beribadat kepada Allah serta bergaul dalam keluarga dan masyarakat dengan baik.
Dengan mempelajari sirah, seseorang Muslim dapat mengumpul banyak pengetahuan dan ilmu Islam yang benar dalam perkara akidah, hukum dan akhlak kerana kehidupan Rasulullah adalah gambaran kukuh daripada sejumlah prinsip serta hukum.
Menjawab soalan peserta bagaimana fiqh sirah boleh membawa perubahan dalam keadaan realiti semasa, Dr Mohammad Said menjelaskan beliau tidak suka menggunakan kalimah perubahan malah tidak pernah menggunakannya dalam ceramah atau penulisan.
Katanya, perubahan mungkin akan membawa kepada perubahan hukum Islam kepada undang-undang lain sedangkan prinsip Islam tetap dan tidak akan berubah. Malah, menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk menjaga prinsip itu daripada diubah.
Memang ada hadis Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun seorang mujaddid. Ramai faham mujadid itu perubahan tetapi jangan disebabkan ingin membuat perubahan, menyebabkan mereka merubah atau menukar agama, katanya.
Beliau turut menolak pandangan peserta bahawa wujudnya kekangan politik dan undang-undang yang menghalang aplikasi fiqh sirah dalam kehidupan terutama kepada mereka yang membaca sirah, mencintai Rasulullah dan mengikut contoh teladan ditunjukkan Baginda.
Daripada mana datangnya kekangan dan siapa yang sebabkan kekangan? Mereka ini juga ada hati dan iman, oleh itu, kita pikat hati dan iman mereka dengan mengajak membuat kajian bagi mendekatkan diri kepada Rasulullah seterusnya menghayati serta melaksanakan fiqh sirah.
Cabaran dari luar mungkin ada tetapi jika dalaman kita tidak dapat menghayati diri Rasulullah dan tidak melaksanakannya, tidak perlu tengok kekangan luar. Yang penting ialah penghayatan dalam diri untuk terus melaksanakan fiqh sirah, katanya.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar

Silahkan anda berkomentar, namun tetap jaga kesopanan dengan tidak melakukan komentar spam.