Jumat, 03 Desember 2010

Kepada Mereka yang sedang diuji ALLAH..Berbahagialah kalian.. oleh Aq Hamba pada 04 Desember 2010 jam 11:00

Panduan Amalan Ketika Sakit

Kehadiran maut selalunya didahului dengan cubaan sakit. Oleh sebab itu perlu kita pelajari bagaimana penyakit yang sedang kita hadapi menjadi rahmat. Bagi orang2 yang benar beriman kepada ALLAH, memahami bahawa segala yang ada ini adalah cubaan ALLAH SWT, samada bentuknya kenikmatan atau kesengsaraan. Sesungguhnya cubaan kesengsaraan jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan cubaan kemewahan dan kenikmatan.

Sakit juga merupakan cubaan dari ALLAH, kerana pada saat ini seseorang itu sedang diuji bagaimana sikapnya dalam menerima ujian ALLAH tersebut. Apakah dengan cubaan atau ujian ini akan bertambah dekat dengan ALLAH atau sebaliknya. Agar cubaan berupa kesakitan yang diberikan kepada kita itu menjadi rahmat bagi diri kita, maka ada beberapa perkara yang harus perhatikan oleh orang yang sedang sakit, diantaranya :

1)      Sentiasa berzikir ketika sakit

~ Hati yang sentiasa ingat kepada ALLAH sebagai tanda hati mendapat pimpinan dari-NYA. Sedangkan hati yang lupa dari mengingat ALLAH adalah sebagai tanda bahawa hati tersebut sedang diselimuti dosa dan kemurkaan ALLAH SWT serta hati yang jauh dari rahmat dan kasih sayang-NYA. Jika orang yang dalam keadaan sakit memiliki hati yang alfa, maka henadklah dia segera bertaubat dan berasa bimbang kalau-kalau dirinya yang sedang sakit itu terlepas dari pemeliharaan ALLAH SWT..


2)      Jangan berburuk sangka kepada ALLAH

~ Orang yang dalam keadaan sakit itu hendaklah berbaik sangka kepada ALLAH dan rela menerima  takdir yang telah ditentukan ALLAH kepada dirinya. Jangan sampai terlintas didalam hatinya bahawa penyakit yang diberikan ALLAH itu adalah sebagai perbuatan yang tidak adil, sehingga ia berkeluh kesah dan seakan-akan tidak menerima ketentuan ALLAH tersebut. Orang yang sentiasa berbaik sangka kepada ALLAH akan menyedari hakikat kehidupan ini, maka ia akan mendapat rahmat dari ALLAH dan ALLAH akan berbuat untuknya mengikut  sangkaan baiknya itu. Sebagaimana yang dijelaskan ALLAH dalam hadis qudsi yang bermaksud:

ALLAH berfirman: “Aku sesuai dengan sangkaan hamba2-Ku kepada-Ku dan Aku selalu bersamanya (menolongnya) kalau ia sentiasa ingat kepada-Ku. Jika ia menyebut-nyebut nama-Ku dalam hatinya,maka Aku akan menyebutnya pada Zat-Ku, dan bila ia menyebut nama-Ku dikalangan orang ramai, maka Aku akan menyebut namanya dikalangan makhluk yang lebih baik daripada kalangannya” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi yang bermaksud :

“Janganlah seseorang diantara kamu mati, kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada ALLAH SWT..”


3)      Sentiasa membaca surah Al-Mulk ketika sakit

~bagi orang yang dalam keadaan sakit hendaklah memperbanyak surah Al-Mulk,sebab surahtersebut mempunyai beberapa keutamaan,diantaranya:

I) Dilimpahkan kebaikan didunia.

“ Sungguh didalam Al-Quran aku dapati ada sebuah surah berisi 30 ayat. Siapa yang membacanya pada saat dia akan tidur,maka dengan itu dituliskan baginya 30 kebaikan, dihapus darinya 30 kesalahan, diangkat untuknya sampai 30 darjat, serta ALLAH SWT mengutuskan 1 diantara malaikat agar menghamparkan sayap diatasnya, menjaga dari gangguan segala sesuatu sampai ia bangun dari tidur.” (hadis riwayat Dailami)

II) Pendinding dari seksa kubur

Abdullah bin Mas’ud r.a berkata:  “ Jika mayat telah diletakkan dalam kuburnya, lalu didatangkan para malaikat dari arah kedua kakinya, kemudian ada suara yang menyeru: “Tidak ada jalan bagi kamu diatasnya, kerana sebelumnya ia sentiasa membaca surah Al-Mulk diatas tapak kakinya.”  Kemudian didatangkan lagi dari arah kepalanya, maka kata lidahnya, “Kamu tidak ada jalan diatasnya, kerana ia selalu membaca surah Al-Mulk dengan mempergunakanku.”  Selanjutnya Abdullah bin Mas’ud berkata: “inilah surah pendinding seksa neraka,didalam kitab Taurat disebut Al-Mulk(kerajaan), siapa yang membacanya dimalam hari, maka ia telah memperindah dan memperbanyak berbuat baik.”

III) Memperoleh kenikmatan syurga

Diriwayatkan dari Anas bin Malik al-Anshari ra.bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

”Ada satu surah dari al-Quran yang membela orang yang sentiasa mengamalkannya,sehingga ia dimasukkan ke dalam syurga .” (HR.Tabrani)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya di dalam al-Quran ada satu surah mengandungi tiga puluh ayat yang dapat memberi bantuan pada seseorang, sehingga ia diampuni oleh Allah SWT iaitu surah Tabarak (al-Mulk).”
(HR. Ahmad , Abu Daud, An-Nasai, Ibn Majah dan Ibn Hibban)

Sabdanya lagi yang bermaksud :

“Seseorang memasuki syurga dengan bantuan satu surah al-Quran yang hanya berisi tiga puluh ayat, iaitu yang menyelamatkannya dari seksa kubur,iaitu surah Tabarak       (al-Mulk)


4)      Penuh Harapan Dan Rasa Takut

Orang dalam keaadan sakit hendaklah penuh harapan kepada Allah, akan diampuni dosanya. Harapan agar Allah akan menyediakan tempat yang bahagia baginya. Harapan agar ia dalam keadaan penuh iman dan taqwa kepada Allah SWT.Sesungguhnya harapan seperti hanya dapat dicapai bagi orang yang menghadapi mati, ketika ia sudah benar-benar bertaubat dan minta ampun atas segala dosa dan kesalahannya.

Rasulullah SAW pernah melihat seorang pemuda yang sedang dalam menghadapi maut. Rasullah SAW bertanya kepadanya: “Bagaimanakah keadaan kamu?.”Pemuda itu menjawab: “Aku berharap kepada Allah SWT dan aku takut akan dosa-dosaku.” Mendengar jawapan itu Rasullah SAW bersabda: “Bila sudah bertamu dua perasaan tadi  ( iaitu perassan harap dan perasaan takut ) pada hati seorang hamba yang sedang menghadapi suasana seperti ini ( akan menghadapi mati ), pasti Allah akan memberi  apa yang diharapkannya itu, dan Allah akan mengamankan dari apa yang ia takuti.” (HR.Ibn Majah dan Tarmizi)

Ketika seseorang menghembus nafas penghabisan dalam keadaan penuh harapan kepada Allah dan rasa  takut akan dosa-dosanya, maka orang itu mati dalam keadaan yang paling baik. Perasaan ini tidak akan timbul dikala menghadapi mati, kecuali bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Cukup amal kebajikan dalam kehidupannya dan benar-benar  sudah bertaubat serta minta ampun atas segala dosa yang dilakukannya.

Sebaliknya bagi orang yang tidak beriman dan bertaqwa serta tidak pernah melakukan kebajikan dan hidupnya penuh dengan dosa tidak mungkin mempunyai rasa harapan kepada Allah di saat-saat menghadapi mati.Bahkan semua dosa dan kesombongan selama ini akan menakut-nakutkannya, dan menghantui ketika menghadapi maut.

5)      Dilarang Menginginkan Kematian

Walaupun orang yang sakit itu penyakitnya sangat parah, namun tidak boleh baginya menginginkan kematian. Sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadith yang bermaksud:

Dari Umi Fadl  ra. bahawa Rasullah SAW melihat bapa saudara Abbas yang sedang sakit tenat. Bapa saudaranya bercita-cita agar segera mati. Maka Rasullah SAW menegurnya : “Wahai bapa saudaraku, janganlah bercita-cita agar segera mati, bila anda seorang yang baik lalu dipanjangkan umur, maka kesempatan itu dapat anda pergunakan untuk menambah amal soleh yang anda miliki. Bila anda berperangai buruk, lalu dipanjangkan umur, maka kesempatan yang ada itu dapat dipergunakan untuk bertaubat, oleh kerana itu janganlah bercita-cita untuk segera mati.” (HR. Al-Hakim )

Dalam hadith yang lain diterangkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah seorang diantara kamu mengharapkan mati. Entah ia seorang yang berdosa  , maka hendaklah meminta ampun, atau orang baik maka hendaklah ia menambah bekalnya.” (HR. Bukhari, Muslim, Baihaqi dan An-Nasai ).

Sebaiknya dalam menghadapi penderitaan yang bersangatan ini kita anjurkan oleh Rasulullah SAW supaya doa dengan doa ini.

Ertinya:
“Ya Allah hidupkanlah aku jika sekiranya kehidupan itu membawa kebaikan untukku, dan matikanlah aku jika sekiranya kematian itu (menurut-Mu) lebih baik untukku.”
( HR. Bukhari dan Muslim).


Di pendekkan dari buku bertajuk:

       ::  Panduan Ibadah ketika Sakit
       :: Penulis: Muhammad Isa Selamat
       :: Al- Falah Publication

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Silahkan anda berkomentar, namun tetap jaga kesopanan dengan tidak melakukan komentar spam.